KOTA KINABALU: Lebih 60 nelayan pesisir pantai mengadu terjejas sekian lama akibat keadaan muara cetek di Sungai Likas berhampiran persekitaran laut Menara Kinabalu.
Wakil Nelayan, Aslin Minin berkata, kejadian ini bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak sekian lama namun tiada tindakan diambil oleh pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, rata-rata nelayan pesisir pantai sangat berharap kepada pendapatan tangkapan nelayan untuk dijual kepada pembeli yang sedang menunggu kehadiran mereka.
“Ketika muara surut atau cetek, masalah ini sangat menghantui nelayan kecil untuk keluar atau balik ke jeti berhampiran.
“Kami mengambil masa sehingga hampir sejam kemudian lebih menolak perahu sehingga menjejaskan aktiviti seharian nelayan pesisir pantai,” katanya kepada Sabahnewstoday hari ini.
Aslin berkata, pihaknya sudah mengemukakan laporan ke pihak terbabit bagi memaklumkan perkara ini namun tiada tindakan diambil sehingga hari ini.
Sementara itu, Abd Sani Imbrani berkata, cabaran kedua dialami nelayan terutama di Kampung Bangka-Bangka serta Kampung Kalansanan adalah muara Sungai Likas cetek.
Katanya, selepas mengalami cabaran pertama di laut berhampiran Menara Kinabalu kemudian nelayan sekali lagi berhadapan masalah sama.
“Laluan masuk adalah sangat kecil serta menjadi laluan air sungai sehingga menyukarkan nelayan untuk menolak perahu mereka.
“Adakalanya nelayan terpaksa berputus asa sehingga meninggalkan perahu mereka di kawasan berhampiran sementara menunggu air pasang tiba,” katanya.
Abd Sani berkata, beliau mencadangkan agar ada tindakan untuk mendalamkan laluan sementara agar membolehkan nelayan senang ketika keluar dan balik dari laut.
“Kami tidak menghadapi masalah untuk menjual hasil pendapatan tangkapan harian kerana sudah ada pembeli menunggu kehadiran nelayan pesisir pantai,” katanya.