Penyambungan paip ke Kampung Bangka-Bangka diatasi secara berperingkat – Mustapha

KOTA KINABALU: Masalah penyambungan Paip Utama membabitkan penduduk Kampung Bangka-Bangka peringkat Tiga akan diatasi secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama menyebabkan penduduk kampung terpaksa menanggung kos tinggi untuk mendapatkan penyambungan bekalan air.

Katanya, terdapat penduduk kampung terpaksa menyambung bekalan air sejauh 800 meter untuk membolehkan mendapatkan bekalan air.

Mustapha bersama Azhar melihat penyambungan bekalan paip di Kampung Bangka-Bangka hari ini.

“Lebih membebankan apabila ada kalangan penduduk kampung terpaksa membayar bil tinggi namun tidak memperoleh bekalan air yang sepatutnya.

“Mereka mendakwa paip selalu bocor menyebabkan bil melambung tinggi. Oleh itu kita beri jaminan masalah ini akan menjadi keutamaan untuk diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mustapha akan memberi keutamaan terhadap runggutan nelayan pesisir pantai yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Saya sudah bertemu sendiri dengan nelayan kecil ini. Mereka mendakwa sukar turun dan balik dari laut akibat air muara terlalu cetek.

“Perkara ini akan dikemukakan dalam beberapa siri mesyuarat akan datang bagi mencari jalan penyelesaian dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Mustapha berkata, beliau juga akan turun sendiri melihat aduan air sungai cetek ini bersama pegawai serta jabatan yang berkaitan.

”Kita akan pastikan masalah ini akan diambil tindakan segera memandangkan ia adalah hasil pendapatan utama nelayan kecil di sekitar Parlimen Sepanggar,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin.