KOTA KINABALU: Keharmonian serta keamanan dikecapi rakyat serta negeri selama ini terus berkekalan serta terpelihara selamanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan memastikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama, dapat meraikan perayaan mereka masing-masing.
“Sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Krismas dan Aidilfitri perlu dijadikan medan untuk merapatkan lagi hubungan serta mengeratkan perpaduan.
“Pembangunan yang saksama untuk semua rakyat akan terus dilakukan termasuk pemberian peruntukan untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini” katanya.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.
Hajiji berkata, kerajaan memastikan agenda pembangunan negeri serta kemajuan rakyat akan diberi tumpuan berterusan di Sabah pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya.
“Ini adalah kesungguhan dan azam kerajaan negeri untuk terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi yang akan membawa kebaikan kepada negeri serta rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik pada tahun 2022 dan berada di landasan yang betul di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sehingga kini, kerajaan negeri telah memperoleh hasil sebanyak RM6.6 bilion, bukti bahawa ini adalah prestasi terbaik kita sejak merdeka. Ini juga adalah komitmen dan kesungguhan kerajaan negeri agar Sabah terus maju.
“Kami tidak akan berputus asa tetapi akan meneruskan momentum ini. Saya mahu rakyat negeri ini termasuk masyarakat Tionghua terus bersama kami dalam perjalanan ini dan. Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan terima kasih kepada anda semua atas sokongan yang berterusan selama ini,” katanya.