FPT UMS jayakan kempen tanam 100 juta pokok di Marudu

KOTA KINABALU: Seramai 51 pelajar kursus Perhutanan Tropika Antarabangsa dan Perladangan Hutan dan Perhutani, Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kerja lapangan, khidmat masyarakat serta program penanaman pokok di Projek Penempatan Semula dan Pembangunan Bersepadu Gana (GRID), Kota Marudu, baru-baru ini.

Menurut kenyataan FPT, program itu antara lain bertujuan memupuk, mempraktikkan serta memperkasakan kemahiran berkomunikasi pelajar-pelajar dengan komuniti setempat dan memberi khidmat masyarakat kepada penduduk kampung.

“Sejajar dengan keperluan kursus ini, pelajar turut menemubual komuniti setempat topik-topik yang berkaitan dengan perhutanan komuniti di kampung terbabit.

“Dalam aktiviti ini, pelajar dapat menggilap kemahiran insaniah melalui komunikasi dengan komuniti setempat.

“Pelajar FPT juga menyampaikan sumbangan ikhlas berupa makanan kering, barangan terpakai, dan alat tulis yang diterima daripada orang awam,” katanya.

Program sehari itu turut dihadiri pensyarah Kursus Perhutanan Komuniti dan Pengembangan FPT, Hardawati Yahya dan wakil Jabatan Perhutanan Sabah Daerah Kota Marudu, Asiah Rasiman.

Kenyataan FPT memaklumkan, para pelajar berasa bersyukur kerana merealisasikan hasrat menjayakan Kempen penanaman 100 juta pokok yang mula dilancarkan pada tahun 2021 sehingga 2025.

“Pada masa yang sama, ia juga menyemai kesedaran pelajar tentang peri pentingnya pokok bagi kemampanan alam sekitar.

“Aktiviti sebegini dapat menjadi platform terbaik kepada pelajar untuk mempelajari dan memahami kehidupan penduduk luar bandar dari aspek ekonomi dan sosial.

“Justeru itu, aktiviti seumpama ini wajar diteruskan supaya pengurusan hutan mampan yang mengambil kira prinsip ekologi, ekonomi dan sosial dapat dikukuhkan selain memelihara hubungan baik antara institusi dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Asiah turut menyampaikan taklimat sejarah perhutanan sosial dan projek REDD+ yang diadakan di projek GRID.

Katanya, pemusatan penempatan komuniti penting demi meneruskan kelangsungan hidup penduduk dan menikmat fasiliti dan kemudahan seperti pendidikan dan kesihatan.

Pada masa yang sama, beliau turut mempromosikan lokasi air terjun Kokobuan untuk dilawati selain mengalu-alukan kegiatan penyelidikan daripada golongan pendidik dan pelajar UMS pada masa akan datang.