SIPITANG: Seorang lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Beaufort-Sipitang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.47 petang itu, sebuah Proton Saga bertembung dengan sebuah Toyota Hilux.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, mangsa yang cedera berjaya keluar sendiri daripada kenderaan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Menyelamat Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sipitang menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan kawasan kemalangan berada dalam keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.34 petang,” katanya.
Operasi membabitkan 17 anggota dari BBP Sipitang dan BBP Beaufort.
