Anak Negeri taruhan calon wanita muda lawan Jeffrey Kitingan di Tambunan!

KOTA KINABALU: Suasana politik Tambunan dijangka panas apabila Parti Kerjasama Anak Negeri (ANAK NEGERI) menampilkan calon wanita muda berkelulusan ekonomi, Dionysia Ginsos, sebagai pencabar kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN Sabah).

Berusia 33 tahun dan berasal dari Kampung Kinabaan, Tambunan, Dionysia bukan sekadar wajah baharu, tetapi membawa semangat pembaharuan generasi muda untuk menyaingi tokoh politik berpengaruh berusia 78 tahun itu.

Presiden ANAK NEGERI, Datuk Henrynus Amin, mengesahkan pencalonan Dionysia dan menyifatkannya sebagai simbol keberanian anak muda Sabah yang ingin melihat perubahan politik di Tambunan.

Bekas Setiausaha Kelab Bola Sepak BMU Kota Kinabalu itu memiliki Ijazah Ekonomi Pembangunan dan Perancangan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mengulas pencalonannya, Dionysia berkata walaupun dianggap calon “underdog”, ia tidak melemahkan semangatnya untuk menentang gergasi politik itu.

“Tiada yang mustahil dalam arena politik. Kecil-kecil cili padi! Yang penting yakin, berusaha dan terus berjuang — kerana sesuatu yang mustahil boleh jadi pasti,” katanya penuh semangat.

Beliau turut menyeru warga Tambunan, khususnya pengundi muda, agar bangkit dan berani membuat perubahan demi masa depan lebih baik pada 29 November ini.