TAMPARULI: Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda di sungai bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di Kampung Kimonsi, Kampung Botung, semalam.
Mangsa dikenali sebagai Randell Junior Rony, 16, dilaporkan hilang selepas dipercayai dibawa arus ketika mandi di sungai berkenaan sekitar jam 6 petang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 6.05 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama Unit Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 7 malam kerana faktor cuaca dan pencahayaan yang terhad, sebelum disambung semula pada pagi ini (Sabtu) pada jam 6.50 pagi menggunakan kaedah pencarian di permukaan air (surface search),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada jam 9.15 pagi, pasukan PPDA Bomba berjaya menemui mangsa kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi diketuai PBK I Mahmud Jumah bersama TPgB Mohamad Nor Amit, Ketua Balai BBP Tuaran, dengan kekuatan 11 anggota dan dua jentera termasuk bot penyelamat.
