PUTATAN: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diingatkan agar meningkatkan iltizam, keyakinan diri serta bijak memilih bidang pengajian yang mempunyai potensi pasaran kerja di masa hadapan.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, disiplin dalam merancang masa depan serta fokus terhadap kejayaan akademik adalah asas penting sebelum melangkah ke menara gading.
“Kejayaan tidak datang bergolek. Pelajar perlu berdisiplin, fokus untuk lulus peperiksaan dan seterusnya merancang laluan kerjaya dalam bidang yang diminati serta boleh pasaran,” katanya.
Shahelmey berkata, pihaknya sentiasa memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf infrastruktur pendidikan di Parlimen Putatan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan meningkatkan motivasi guru serta pelajar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Motivasi dan Kerjaya Belia Parlimen P173 Putatan di Hotel Pan Borneo, di sini, hari ini yang menghimpunkan lebih 300 pelajar STPM sekitar daerah itu.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa generasi muda agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi, termasuk menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi nadi kepada pelbagai industri moden.
“Zaman semakin canggih, dan industri masa depan banyak bergantung kepada teknologi seperti AI. Contohnya, aplikasi seperti ChatGPT kini digunakan meluas dalam pelbagai sektor. Anak muda Putatan perlu berani meneroka dan menguasainya agar tidak tercicir,” katanya.
