GRS gesa Putrajaya hormati hak 40 peratus Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa hak perlembagaan Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada hasil Persekutuan adalah perkara yang wajib dihormati, bukan sekadar isu perundangan semata-mata.

Majlis Presiden GRS dalam kenyataannya berkata, keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober lalu yang menegaskan hak Sabah terhadap geran khas bagi tempoh 1974 hingga 2021 perlu diterima dengan terbuka oleh semua pihak.

Menurut GRS, Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan bersama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi asas penting dalam pembentukan Malaysia, justeru penghakiman itu sebenarnya hanyalah pelaksanaan terhadap apa yang sudah lama termaktub.

“GRS menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan supaya tidak merayu keputusan tersebut.

“Tiada penalti kewangan dikenakan, sebaliknya mahkamah hanya mengarahkan supaya semakan perlembagaan yang tertangguh sekian lama dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.

Susulan keputusan mahkamah itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah mengarahkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (EPU), dan Jabatan Peguam Besar Negeri untuk meneliti dengan terperinci alasan penghakiman berkenaan bagi memulakan rundingan bermakna dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri bersedia untuk memuktamadkan jumlah sebenar yang sewajarnya diterima Sabah melalui semakan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Majlis Presiden GRS turut menzahirkan kekecewaan terhadap keadaan rakyat Sabah yang masih berdepan pelbagai kekurangan asas walaupun negeri ini kaya dengan sumber semula jadi.

“Dari Pitas hingga ke Pensiangan, rakyat masih bergelut dengan gangguan bekalan elektrik, jalan tidak berturap dan klinik tanpa doktor. Semua ini bukan kerana tiada usaha, tetapi kerana hak yang sepatutnya diterima Sabah tidak disalurkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, GRS menegaskan komitmen untuk terus mengekalkan hubungan kerja yang baik dan penuh hormat dengan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami berdiri teguh menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri.

“Pendekatan beliau yang berteraskan keterangkuman dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat Sabah amat kami hargai,” ujar kenyataan itu lagi sambil menyatakan bahawa 13 daripada 29 tuntutan MA63 telah berjaya diperoleh melalui pentadbiran Anwar.

GRS turut menegaskan pendiriannya yang tidak berkompromi dalam memperjuangkan hak lebih tiga juta rakyat Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

“Kemenangan ini bukan sekadar angka dalam lembaran kewangan, tetapi simbol kepada keadilan yang lama dinanti. Tuntutan Sabah bukan permintaan, tetapi hak yang dijamin oleh Perlembagaan,” jelasnya.

Majlis Presiden GRS berharap detik ini menjadi titik perubahan di mana Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menunaikan janji, tetapi turut menyembuhkan rasa terpinggir rakyat Sabah yang telah berlarutan selama puluhan tahun.

“Perdana Menteri akan dikenang oleh seluruh rakyat Sabah dan Malaysia sebagai seorang pemimpin yang benar-benar prihatin,” tambah kenyataan itu.