94 PATI Indonesia Dihantar Pulang Melalui Terminal Feri Tawau

TAWAU: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI di sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kesemua tahanan tersebut dihantar pulang dari Depot Imigresen Papar melalui Terminal Feri Tawau menuju ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan kapal Labuan Express.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 53 merupakan lelaki dewasa, 23 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 57 tahun.

Katanya lagi, semua kanak-kanak terbabit diiringi oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Setakat ini, seramai 1,847 warganegara Indonesia telah dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 9,059 tahanan asing telah dipindahkan dari Sabah ke negara asal masing-masing melalui program ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa semua tahanan berkenaan telah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan memiliki Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan tersebut.

Kekerapan penghantaran tahanan pula bergantung kepada tempoh pengeluaran SPLP oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Sabah.

Sitti Saleha turut menasihatkan para majikan di Sabah agar mengambil bahagian dalam program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi merekod keberadaan pekerja asing khususnya dalam sektor perladangan.

“Inisiatif ini dijangka dapat membantu kerajaan mengawal isu dokumentasi pelbagai dokumen serta lambakan PATI di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa JIM Sabah akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan yang bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan,” katanya lagi.