81 Kes Covid-19, Turun 39 Peratus Berbanding Minggu Sebelumnya

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sebanyak 81 kes baharu Covid-19 minggu lalu (28 Mei-3 Jun), turun 39 peratus berbanding 133 kes pada minggu sebelumnya (21 Mei -27 Mei).

Menteri Penyelaras Covid-19 Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, bilangan kes tempatan yang direkodkan minggu lalu menurun sebanyak 39 peratus kepada 81 kes berbanding 132 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya, tiada kes import dilaporkan minggu lalu berbanding satu kes pada minggu sebelumnya.

“Tiada kes kematian dilaporkan minggu lalu berbanding tiga kes pada minggu sebelumnya. 

“Purata kes aktif setiap hari pada minggu lalu meningkat sebanyak tujuh peratus, iaitu 15 kes berbanding 14 kes minggu sebelumnya.

Bilangan pesakit Covid-19 related dalam rawatan meningkat sebanyak dua peratus, iaitu 147 kes pada minggu lalu berbanding 144 kes minggu sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Joachim berkata, 13 daerah mencatatkan penurunan kes mingguan iaitu Penampang, Tambunan, Nabawan, Beluran, Telupid, Ranau, Kota Marudu, Keningau, Tawau, Papar, Tuaran, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, tiga daerah mencatatkan kes mendatar minggu lalu sama seperti pada minggu sebelumnya, iaitu Lahad Datu, Beaufort dan Kunak.

“Manakala 13 daerah yang lain tidak mencatatkan sebarang kes minggu lalu iaitu Putatan, Kudat, Pitas, Kuala Penyu, Sipitang, Tongod, Semporna, Kalabakan, Nabawan, Beluran, Ranau, Kota Marudu dan Keningau. 

“Tiga daerah mencatatkan peningkatan jumlah kes minggu lalu berbanding minggu sebelumnya, iaitu Kinabatangan, Tenom dan Kota Belud,” katanya.