KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk bekalan air yang berterusan di UMS.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, sebagai langkah awal, UMS dan UTM melakukan perbincangan berkaitan isu ini dan kerjasama tersebut akan dimulakan di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
“Sehubungan itu, lawatan tapak dalam masa terdekat di UMSKAL akan diadakan bagi mengenal pasti secara signifikan isu berkaitan bekalan air ini.
“Difahamkan UTM juga bersedia menawarkan khidmat kepakaran teknologi membran dan proses desalinasi bagi mengatasi isu bekalan air yang dihadapi UMSKAL sepertimana yang digunakan untuk manfaat 53 sekolah pedalaman seluruh negara dan penyahgaraman air laut di Kg. Pantai Senok, Bachok Kelantan sejak tahun 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kasim berkata, sistem di kampung tersebut mampu mengeluarkan 500,000 liter sehari air bersih terus daripada air laut.
“Usaha menyuling air laut kepada air tawar tersebut dijangka dapat menampung keperluan air kepada lebih kurang 3,000 orang pelajar di UMSKAL,” katanya.