KOTA KINABALU : Seramai 15 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta melanggar syarat Pas mereka.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha binti Habib Yussof berkata, kesemua PATI dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Katanya, mereka yang ditahan ini terdiri daripada warganegara India dan Filipina dalam operasi penguatkuasaan membabitkan empat premis kedai makan di ibu negeri malam tadi.
“Operasi bermula 7.00 malam ini turut memeriksa seramai 64 individu dikenal pasti bekerja di premis kedai makanan di Kota Kinabalu.
“Kita akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang imigresen di negara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sitti Saleha berkata, pihak majikan diingatkan agar tidak menggaji, melindungi atau menyembunyikan PATI kerana tindakan tegas akan diambil.
“Mereka didapati bersalah boleh diambil tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelas Sitti Saleha.