Dua Lelaki Warga Asing Ditahan Membelasah Guna Tali Pinggang

LAHAD DATU : Polis menahan dua lelaki warga asing selepas disyaki membelasah seorang lelaki menggunakan tali pinggang hingga cedera di bahagian dahi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Jimmy Panyau berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 34 tahun ditahan di Kampung Tanah Rata, Kunak,

Katanya, dua suspek tersebut dipercayai membelasah mangsa dalam kejadian di Kampung Epil, di sini, pada 3 April lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kenyataan berunsur gangguan seksual yang dilemparkan suspek terhadap isteri mangsa.

“Mangsa kemudiannya pergi bersemuka dengan suspek bagi menasihatinya, namun diserang dengan tali pinggang hingga cedera di bahagian dahi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jimmy berkata, hasil maklumat dan risikan, kedua-dua suspek berjaya diberkas polis ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda tajam,” jelas Jimmy.