KOTA KINABALU : Kenyataan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bahawa Sabah tidak stabil dari segi politik serta mundur ekonomi sebelum tahun 1994 adalah tidak tepat.
Ketua Exco Wiramuda StarSabah, Jordan Jude Ellron berkata, ia dilihat berbahaya kerana cuba menulis semula sejarah Sabah demi mempertahankan penguasaan politik oleh kerajaan Persekutuan.
Katajya, adalah sangat memalukan untuk menyalahkan ketidakstabilan Sabah kepada perpecahan dalaman.
“Punca sebenar pembangunan Sabah yang perlahan ialah campur tangan Persekutuan, penafian terhadap hak-hak kami di bawah Perjanjian Malaysia 1963 serta pengkhianatan politik pada tahun 1994.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) 1994, Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi mandat rakyat namun digulingkan melalui siri lompat parti yang didakwa dirancang dan dikaitkan dengan UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jordan berkata, Bung Moktar mendakwa Sabah hanya mula membangun selepas kemasukan UMNO adalah satu penghinaan kepada generasi rakyat Sabah.
“Walaupun Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia lebih 60 tahun, namun negeri ini masih tergolong antara yang termiskin di negara ini.
“Ini merupakan satu hakikat memalukan dikenal pasti berpunca daripada dasar-dasar yang digubal di Putrajaya, bukannya di Kota Kinabalu,” jelas Jordan.
Menurutnya, inilah sebabnya slogan ‘Sabah untuk Rakyat Sabah’ digunakan, ia bukan retorik kosong.
“Ia adalah satu tindak balas terhadap puluhan tahun pengabaian menyeru untuk mengembalikan maruah dan membentuk masa depan yang diterajui anak-anak Sabah sendiri.
“Presiden StarSabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, telah lama memperjuangkan agenda ini, kini berkembang menjadi satu gerakan lebih besar melibatkan pelbagai parti tempatan,” kata Jordan.
Malah, katanya, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menuduh Dr Jeffrey sebagai punca kepada sentimen ini — sesuatu yang menurut Jordan membuktikan pengaruhnya semakin meluas.
“Kami sebagai ahli StarSabah melihat tuduhan itu sebagai satu kebanggaan. Jika mempertahankan hak Sabah menjadikan kami bersalah, maka kami bangga menjadi bersalah.
“Kita juga menolak sebarang cubaan untuk menggambarkan parti berpusat di Semenanjung sebagai penyelesaian kepada masalah Sabah, sama ada UMNO, PKR, Bersatu atau DAP,” tambahnya.
Beliau berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pemimpin yang berkongsi misi ini sekali gus tidak akan berdiam diri terhadap mereka yang menghina sejarah atau memperkecilkan hak Sabah.
“Sabah bukan negeri yang gagal. Sabah telah dikhianati. Dan kami tidak akan benarkan ia berlaku sekali lagi.
“Rumah kita, kita jaga. Kami bukan anak tiri. Kami anak jati negeri ini. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?” tambahnya.