KOTA KINABALU : Kenyataan Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong mengelirukan orang awam apabila menyalahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkaitan pemansuhan subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr. Roland Chia berkata, beliau menegaskan keputusan merasionalisasikan subsidi LPG sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan tanggungjawab pentadbiran negeri Sabah.
Katanya, Junz Wong dilihat silap sasaran ini kerana dasar subsidi LPG adalah urusan Kerajaan Persekutuan sekali gus tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin GRS.
“Kritikan beliau ini hanya dilihat bertujuan untuk mengelirukan rakyat Sabah secara keseluruhannya.
“Langkah pemansuhan subsidi LPG merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidi Kerajaan Persekutuan yang lebih besar, bertujuan menjimatkan kira-kira RM12 bilion setahun,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Dr Roland berkata, WARISAN merupakan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan seharusnya membawa perkara ini kepada rakan-rakan mereka yang berada di sana.
“Malah salah seorang pemimpin mereka kini memegang jawatan Timbalan Menteri di peringkat persekutuan.
“Semasa pentadbiran WARISAN, jumlah geran khas tahunan Persekutuan kepada Sabah RM53 juta. Di bawah GRS, jumlah ini telah meningkat kepada RM600 juta setahun.
“Kerajaan GRS menggunakan sebahagian peruntukan itu untuk melaksanakan program berimpak tinggi termasuk inisiatif pembinaan Rumah Mesra SMJ kepada golongan B40 tanpa mengira kaum atau agama,” jelas Dr Roland.
Menurutnya, GRS memperkenalkan bantuan RM5,000 kepada penjaja berlesen dalam Belanjawan Sabah 2025 bagi meringankan beban kewangan mereka.
“Program Sentuhan Kasih Rakyat menyediakan bantuan bulanan RM300 kepada isi rumah miskin tegar selama setahun.
“Junz Wong jangan membuat dakwaan tidak berasas demi publisiti murahan, pemimpin WARISAN seharusnya mengingati rekod pencapaian mereka sendiri. Rakyat Sabah berhak mendapat wacana yang membina, bukan gangguan politik,” katanya.