TONGOD: Yayasan Pendidikan Tongod akan ditubuhkan bagi membantu golongan pelajar daerah ini yang tidak berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, langkah penubuhan yayasan berkenaan merupakan solusi baharu bagi menambah bilangan anak muda yang berpendidikan tinggi.
“Kita yakin akan lebih ramai modal insan yang berjaya dapat dilahirkan menerusi bantuan yayasan itu nanti,” katanya para majlis kesyukuran Keluarga Milian di Kampung Alitang dan Seriwati yang dihadiri lebih 300 anggota keluarga berkenaan, semalam.
Menurutnya, kewujudan dua kilang terbesar yang akan beroperasi di Tongod tidak lama lagi akan membantu dari segi dana yayasan pendidikan itu nanti.
Kilang tersebuat ialah Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd di bangunkan dekat Kampung Inarad dan kilang ternakan kinzir di Kampung Entilibon.
Masiung berkata, dengan tertubuhnya yayasan pendidikan itu kelak, ia boleh mengubah nasib golongan miskin dengan memberikan akses pendidikan tertinggi kepada anak mereka menerusi yayasan berkenaan.
Katanya pemegang amanah bagi yayasan itu nanti akan diuruskan oleh anak tempatan Tongod sendiri yang berkelayakan.
Beliau yang juga Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd, memberi jaminan 1,000 kekosongan jawatan bakal diwujudkan di syarikat berkenaan akan diberi peluang kepada warga Tongod mengikut kelayakan akademik.
Turut hadir memeriahkan majlis kesyukuran itu ialah Paderi All Saint Kota Kinabalu Dean Musa Ambai, Penolong Pegawai Daerah Tongod Ronley Saringan dan Pegawai Unit Pembangunan Masyarakat Tokyo Hashim Omar.