Polis rampas selaras bakakuk beserta lima butir peluru, tahan lelaki berusia 53 tahun di Kalabakan

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas didapati memiliki selaras senapang jenis bakakuk buatan sendiri dan beberapa butir peluru di Kampung Sungai Udin, Jalan Kalabakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek warga tempatan berusia 53 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai di sebuah rumah tidak bernombor pada jam lebih kurang 12.05 tengah hari selepas menerima maklumat awam.

Katanya, hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah tersebut, polis berjaya menemukan satu laras senapang jenis bakakuk bersama lima butir peluru yang disimpan di dalam salah sebuah bilik di dalam rumah berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengaku bahawa senjata berkenaan adalah milik suspek.

“Suspek mengaku senjata tersebut telah diberikan oleh kawan beliau yang telah meninggal dunia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jasmin berkata suspek dan barang rampasan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber suspek memperoleh senjata dan peluru berkenaan.