Pekerja lelaki maut dihempap perabot ketika pindah barang dari lori terbalik di Batu 17 Sandakan

SANDAKAN : Seorang pekerja lelaki maut dipercayai dihempap perabot ketika sedang memindahkan barangan tersebut dari lori yang terbalik di Jalan Labuk, Batu 17 di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu yang berlaku pada pukul 10.02 pagi.

Menurutn kenyataan itu, 10 anggota bersama kenderaan utiliti diketuai Komander Operasi, PBK II Alan Ayuh dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan telah bergegas ke lokasi kejadian.

Lori tiga tan yang membawa muatan barangan perabot dilaporkan telah hilang kawalan lalu terbalik di atas jalan raya, semalam.

Pemandu dan kelindan yang membawa lori tersebut dilaporkan terselamat.

Bagaimanapun, seorang pekerja lelaki dikenali sebagai Nawai, 20-an, yang berada di lokasi kejadian pagi ini bagi membantu kerja-kerja memindahkan barangan dari lori terbalik ke sebuah lori lain dikatakan telah dihempap perabot.

Mangsa yang tersepit telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Ambulans di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada pukul 10.56 pagi selepas pasukan bomba selesai memastikan tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian.