Tingkatkan kebersihan, wujudkan lebih banyak tong sampah antara isu diselesaikan segera di Taman Awam Teluk Likas

KOTA KINABALU : Masalah kekurangan kemudahan tong sampah dan meningkatkan tahap kebersihan serta prasarana di kawasan Taman antara isu yang akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, beliau mengakui ketiga-tiga isu menjadi asas penting untuk diselesaikan segera memandangkan kawasan ini tumpuan setiap hari warga bandaraya menjalankan aktiviti seharian mereka.

Dr Sabin bersama peniaga yang merungut kekurangan kehadiran penggunjung ke Anjung Selera Likas.

Katanya, lokasi menempatkan lebih banyak tong sampah sudah dikenal pasti agar pengunjung tidak perlu berjalan jauh sekali gus bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan ini.

“Taman Awam Teluk Likas antara kawasan tarikan utama pelancong luar negara. Sudah tentu masalah seperti ini perlu ditangani segera agar kawasan ini mersa kepada penggunjung serta boleh dilawati oleh seluruh lapisan masyarakat. 

“Saya sendiri melawat serta berjalan kaki di sepanjang laluan jogging dan berbasikal ini mengakui tahap kebersihan agak kurang memuaskan kerana terdapat sampah diselitkan dicelah bahagian timbunan batu berikutan kekurangan tong sampah.

Dr Sabin bersama pegawai dan kakitangan DBKK dalam siri lawatan ke Taman Awam Teluk Likas hari ini.

“Begitu juga dengan sampah yang lambat diangkat sehingga menyebabkan ia mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan kepada orang ramai yang menggunakan kemudahan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berjalan kaki bersama pegawai dan kakitangan DBKK di Taman Awam Teluk Likas di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie.

Dr Sabin berkata, aspek lain akan dititikberatkan adalah mewujudkan lebih banyak tanda petunjuk keselamatan untuk laluan pejalan kaki, berjogging serta mereka yang menggunakan kemudahan berbasikal.

“Kita juga akan menanam lebih banyak pokok serta bunga di beberapa lokasi yang tertentu agar kawasan Taman Awam Teluk Likas ini benar-benar mencapai tahap mersa pengguna untuk seluruh lapisan masyarakat di kawasan bandaraya.

“Aspek kebersihan pantai akan kita akan beri perhatian sepenuhnya. Saya akan bertemu dengan Kontraktor Pembersihan Pantai untuk mendapatkan riaksi mereka berkaitan masalah sampah di sekitar kawasan pantai teluk likas ini,” Jelas Dr Sabin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau akan memberi perhatian kepada rungutan peniaga di Anjung Selera Likas serta juga akan diambil perhatian berikutan kekurangan tarikan pengunjung berkunjung ke kawasan tersebut.