Rumah pekerja di Kampung Boutu musnah dalam kebakaran pagi tadi

TELUPID : Sekumpulan pekerja tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bouto dekat sini pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat  Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7 pagi tadi.

Katanya, tujuh anggota bersama kenderaan utiliti diketuai oleh Komander Operasi, PBK II John Francis Andam telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 90 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran.

Maklumat kejadian melaporkan kebakaran itu melibatkan rumah pekerja 12 pintu jenis tidak kekal berukuran 25×60 kaki yang terbakar 100 peratus.

Pasukan itu bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan 1 aliran salur bantu mula dari jentera bomba.

Operasi terkawal pada pukul 8.40 pagi dan ditamatkan tiga puluh minit kemudian.

Tiada mangsa terlibat dilaporkan. Punca kebakaran dan anggaran kerugian akan disiasat.