KOTA KINABALU : Surcaj atau rebat yang dikenakan kepada pengguna melalui mekanisma Imbalance Cost Pass Through (ICPT) yang dilaksanakan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah dalam kiraan sen dan bukan ringgit.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir.Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata pelaksanaan ICPT dengan kadar 7.21 sen/ kWj itu adalah untuk tempoh 1 Jan 2024 hingga 30 Jun 2024.
“ICPT adalah mekanisma yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga bermula pada 1 Januari 2022 di bawah rangka kerja Incentive-Based Regulation (IBR),” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau mengulas kekeliruan yang timbul di beberapa laman media sosial yang menyatakan bahawa ada kenaikan tarif ekoran pelaksanaan ICPT sebanyak RM7.21/kWj dan menimbulkan kerisauan di kalangan pengguna.
Beliau berkata untuk Sabah dan Labuan IBR dilaksanakan bermula pada 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2024 untuk tempoh kawal selia pertama (RP1) selama Tiga tahun.
Bagaimanapun, katanya, rebat atau surcaj ICPT tidak dikenakan sehingga pada tahun 2022 kerana kos ICPT diserap oleh kerajaan. “Pada 1 Jan 2023, surcaj ICPT mula dikenakan pada kadar 10.04sen/kWj untuk tempoh enam bulan sehingga Jun 2023.
Menurutnya kadar itu turun kepada 2.11sen/kWj untuk tempoh 1 Julai 2023 hingga 31 Disember 2023. Manakala surcaj yang dikenakan bermula 1 Jan 2024 hingga 30 Jun 2024 adalah sebanyak 7.21sen/kWj.
Dalam pada itu, Mohd Yaakob turut berkata kerajaan bersetuju menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM161.70 juta kepada kategori-kategori pengguna yang tertentu, bagi meminimakan impak ICPT.
“Ini bermakna hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelaksanaan surcaj ICPT terbaharu ini.
“Mekanisme ICPT membolehkan SESB sebagai utiliti elektrik mengatasi perubahan (samada peningkatan atau penurunan) kos bahan api dan kos-kos penjanaan elektrik untuk dilepaskan kepada pengguna melalui tarif elektrik setiap enam bulan bagi tujuan pelarasan dalam bentuk rebat atau surcaj.
“Rebat atau surcaj ICPT telah dilaksanakan di Sabah dan W.P. Labuan sejak tahun 2023 lagi. Pihak kawal selia iaitu Suruhanjaya Tenaga ataupun sekarang Energy Commision of Sabah (ECoS) akan mengkaji semula rebat/surcaj pada setiap enam bulan,” jelas Mohd Yaakob.