Waspada budaya fitnah yang berleluasa dalam media sosial – Hajiji

KIULU: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu berwaspada terhadap budaya fitnah yang begitu berleluasa dalam media sosial ketika ini.

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mahu supaya ahli parti membetulkan tuduhan salah yang disebarkan melalui media sosial oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Hajiji berucap ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu, di sini, hari ini. Gambar JKM.

“Kerajaan mencapai banyak kejayaan tapi ramai yang menafikannya melalui fitnah. Kita tidak mahu rakyat dipesongkan oleh tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu, di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kiulu Janih Bangud, Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Edward Linggu dan Naib Presiden UPKO Fairuz Bandar.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata Gagasan Rakyat perlu bekerja bersama dengan rakan dalam GRS bagi mematahkan cubaan mengggugat kestabilan kerajaan.

Hajiji ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Kiulu, di sini, hari ini. Gambar JKM.

“Saya juga memberi jaminan untuk membela nasib semua pihak di Kiulu ini. Bagaimanapun, sebagai Ketua Menteri, saya perlu membela semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang mereka,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pembinaan bangunan Sekretariat Daerah Kecil Kiulu yang membabitkan kos RM5 juta akan dimulakan tidak lama lagi.

Katanya, Kerajaan GRS bertindak dengan segera untuk menjadikan Kiulu sebagai sebuah daerah kecil dalam tempoh tiga bulan selepas memegang kuasa dan memastikan pembinaan bangunan Sekretariat Daerah Kecil Kiulu dilaksanakan.

“Kita akan membangunkan Kiulu sebagai pusat pelancongan kerana ia adakah antara paling banyak operator pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di negeri ini,” katanya.

Hajiji berkata ADUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bekerja keras untu menjadikan Kiulu sebagai hab pelancongan CoBT.