KOTA KINABALU: Peningkatan semula kedatangan pelancong menyaksikan sektor perhotelan di negeri ini mencatat 52 peratus kadar penghunian bilik hotel sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kadar itu dijangka terus bertambah dengan pada hari tertentu beberapa hotel dilaporkan mencatat penghunian penuh, terutamanya ketika cuti atau apabila ada acara diadakan di sini.

“Ini menunjukkan industri hospitaliti kita pulih dengan cepat daripada kesan pandemik COVID-19 yang berlaku sebelum ini,” katanya pada sambutan ulang tahun ke-40 tahun Hotel Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini, malam tadi.
Sejajar dengan perkembangan industri perhotelan, Hajiji berkata Sebanyak 2,053 bilik hotel ditambah di negeri ini menerusi pembukaan tujuh hotel baharu tidak lama lagi.
Jumlah itu, katanya menambah kapasiti sedia ada sebanyak 26,822 bilik hotel di 685 hotel seluruh negeri merangkumi hotel bajet hingga hotel bertaraf lima bintang.

Justeru itu, katanya, Sabah bersedia untuk mencapai sasaran ketibaan 2.2 juta pelawat pada tahun ini sejajar perkembangan baik sektor pelancongan selepas pandemik.
“Setakat Julai lalu, seramai 1.4 juta ketibaan pelancong direkodkan di negeri ini.
“Kedatangan pelancong ke Sabah menjana kira-kira RM2.9 bilion peningkatan 99.7 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri juga melihat potensi yang besar dalam sektor pelancongan berasaskan komuniti (CoBT) di negeri ini.
“Kita mahu melihat pertumbuhan sektor ini di seluruh negeri supaya lebih ramai komuniti dari kawasan luar bandar mendapat manfaat daripada peluang ekonomi yang ditawarkan.
“CoBT sudah dilaksanakan di banyak daerah di Sabah dengan antaranya mewujudkan keseronokan pengembaraan, budaya dan makanan.
“Inisiatif penjenamaan CoBT juga akan dilaksanakan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dalam masa terdekat untuk membawanya ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Katanya sebanyak RM10 juta disediakan kerajaan negeri untuk membaiki infrastruktur asas pelancongan di kawasan luar bandar sebagai galakan kepada CoBT.