PM arah segera siapkan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah lebih perlahan berbanding di Sarawak.

Justeru, katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah ditugaskan untuk memastikan pembinaan lebuh raya itu berjalan lancar dan tidak lagi tertangguh, sekali gus memenuhi janji kepada rakyat negeri Sabah.

Pada masa sama, katanya, kementerian kewangan juga telah diarahkan untuk memastikan penyaluran peruntukan dapat dipercepatkan.

“Saya setuju Pan Borneo Sarawak hampir siap, tapi Sabah amat perlahan jadi tugas TPM II adalah untuk menyegerakannya. Kementerian Kewangan setuju untuk fast track asalkan ada proses tender terutama untuk kawasan Sabah kerana Pan Borneo ini berpuluh tahun tertangguh peruntukan ada.

“Oleh kerana kita sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak jadi tidak alasan kita lengahkan malah dalam Kembara Kenali Borneo ada dibangkitkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” kata Anwar ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa yang sama Anwar berkata agensi penguatkuasa digesa bertindak tegas dalam memastikan tiada unsur rasuah dan ketirisan dalam projek pembinaan lebuh raya tersebut.

“Insya-Allah dalam beberapa aspek saya akan umum hari Jumaat tetapi dari sudut ketirisan saya setuju kita kena tegas dan saya minta semua agensi penguat kuasa supaya jangan tolak ansur pastikan tidak ada lagi kebocoran dan ketirisan,” katanya lagi.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah, berbanding di Sarawak yang sudah hampir siap, selain masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.

Untuk rekod, jadual Kementerian Kerja Raya mengenai 15 pakej fasa satu projek Pan Borneo Sabah yang dijadual siap pada akhir tahun depan, sukar dicapai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob sebelum ini berkata dia tidak yakin jaminan itu dapat dipenuhi berdasarkan perkembangan semasa kerja pembinaan di semua pakej terbabit.

Katanya, cara kerja kontraktor yang lambat dan tidak tersusun, selain dilihat tidak profesional menyukarkan projek itu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.