LABUAN: Ahli-ahli UMNO khususnya di peringkat kepimpinan, bahagian dan cawangan perlu mahir menggunakan media sosial untuk memantapkan parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata dalam era teknologi dan kemunculan begitu pantas pelbagai aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok perlu dikuasai oleh ahli-ahli UMNO jika mahu bersaing dengan parti lain.

Katanya ahli UMNO yang mahir menggunakan media sosial menjadi kelebihan untuk menawan dan memenangi hati rakyat terutamanya golongan muda, kerana mereka (golongan muda) bukan sahaja celik teknologi maklumat tetapi segala maklumat yang didedahkan dalam media sosial sudah sebati dalam kehidupan seharian mereka.
“Perlu diingat kenapa UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dan ke 15, puncanya ialah UMNO gagal manfaatkan sepenuhnya media sosial berbanding dengan parti lain yang menggunakan media sosial untuk berkempen dan hasilnya sangat mengejutkan.
“Golongan anak muda hari ini tidak lagi menjadikan media arus perdana sebagai medium untuk mereka mendapatkan maklumat, sebaliknya mereka lebih terarah melalui media sosial,” katanya pada Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Penerangan UMNO peringkat Cawangan dan Ahli Jawatankuasa UMNO empat peringkat Bahagian Labuan di sini, semalam.
Justeru itu, beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Labuan berkata, ahli ahli UMNO bahagian Labuan perlu menguasai media sosial bukan sahaja untuk mempengaruhi golongan anak muda tetapi juga dalam menangkis fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh parti lawan.
Katanya ini memerlukan ahli-ahli UMNO konsisten dalam penggunaan media sosial dengan kandungan-kandungan yang lebih ‘power’ dan berasas yang berjaya disantuni oleh golongan muda.
Hadir sama pada program yang julung kalinya diadakan itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rosli Omar, Ketua Wanita UMNO Bahagian Niswati Tarji, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Saiful Pungot dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Normiyati Jumat.