Shahelmey perlu jelaskan pendirian, kekal UMNO atau sudah masuk PGRS?

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Putatan hari ini mempertikaikan kewibawaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya yang dilihat secara terang-terangan sudah menyokong parti berlainan.

Ketua Pemudanya, Mohd Faizul Hafizie Sablee berkata, Menteri Kerja Raya Sabah yang kini menjalani pergantungan selama enam tahun oleh UMNO Pusat itu pernah menghadiri majlis rasmi parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Tuaran baru-baru ini, malah hampir seluruh petugas dan orang-orang kuatnya telah menyertai berkenaan.

Jelasnya, oleh yang demikian, pihaknya mendesak supaya Shahelmey menjelaskan pendiriannya sama ada beliau masih UMNO atau pun sudah beralih kepada PGRS memandangkan tiket kerusi DUN dan Parlimen Putatan yang dimenanginya adalah atas tiket UMNO/BN.

“Apa yang dilakukan oleh Shahelmey ini amat tidak profesional memandangkan beliau sebelum ini dan orang-orangnya selalu mengatakan beliau ini seorang yang berkaliber, berimej korporat dan ahli politik yang berwibawa.

“Tapi apa yang dilakukan beliau sebenarnya telah mengguris hati pengundi UMNO, BN yang telah memilihnya pada edisi PRN dan PRU lalu.

“Kalau benar tidak mempunyai hati dengan parti UMNO, maka umumlah keluar parti, letaklah jawatan bukannya berselindung dengan isu yang kononnya beliau menjadi mangsa keadaan kerana tidak sehaluan dengan pimpinan UMNO negeri.

“Jadilah seorang anak jantan dan jangan berlagak dengan kurniaan jawatan yang diberikan, kamu menang dahulu atas tiket UMNO/BN bukannya PGRS atau GRS, “luahnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Faizul Hafizie, laman sosial rasmi PGRS Tanjung Keramat yang boleh diakses secara terbuka juga telah membuktikan semua jentera dan petugas bagi Timbalan Ketua Menteri Sabah itu telah menyertai PGRS malah Ketua Bahagiannya juga merupakan sekutu rapat kepada Shahelmey.

“Kalau ini bukan bukti apa lagi…mereka sewenang-wenangnya memainkan perasaan mana-mana pengundi yang pernah menyokong mereka.

“Saya menerima maklumat, pegawai-pegawai kanan beliau di Kementerian Kerja Raya (KKR), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Keramat menjawat jawatan penting dalam PGRS Tanjung Keramat, jadi matematik apa lagi mengatakan Shahelmey setia dengan UMNO?

“Kononnya Shahelmey mahu menunggu keputusan daripada UMNO Pusat untuk memecatnya supaya beliau mudah membuat perancangan dalam politik, tapi bukankah bagus untuk anda keluar sahaja daripada terus berlakon menjadi mangsa keadaan?

“Beliau perlu mengenang budi, kalau bukan parti UMNO Putatan siapalah dia, jentera parti yang banyak membantu perjalanan kempen, cubalah beliau bertanding jadi calon bebas pada PRU tahun lalu,” katanya.

Jelas Ketua Pemuda UMNO Putatan itu lagi, pihaknya dalam masa sama akan mengusulkan surat kepada pucuk pimpinan UMNO Pusat untuk tindakan lanjut terhadap penganiayaan Shahelmey kepada UMNO Putatan.

“Perlu diingat, kesetiaan itu terlalu mahal ertinya dalam politik kerana ramai politikus sekarang menghina UMNO Sabah namun mereka lupa, yang mengangkat mereka menjadi orang sekarang adalah UMNO.

“Kami berpesan kepada beliau, kalau berani letak jawatan, keluar parti dan bertanding semula atas kerusi dimahukan..UMNO Putatan sentiasa bersedia, “katanya.