KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) Warisan yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menunaikan janjinya dalam memastikan tuntutan Sabah dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata pihaknya boleh memberikan masa secukupnya kepada Anwar Ibrahim untuk mencerakin serta menulusuri sejarah perjanjian MA63 berkenaan.
Katanya, namun tidak sewajarnya terlalu memakan masa lama kerana perjanjian tersebut adalah perjanjian antarabangsa yang sah dari segi undang-undang.
“Kita perlu memberikan peluang kepada Anwar sebagai Perdana Menteri bersama ahli kabinetnya untuk mengurus pentadbiran negara, menjayakan reformasi yang di janjikan kepada rakyat dan negara.
“Selepas ini mereka memulakan fokus kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara, disamping menurunkan kos sara hidup rakyat seperti yang dijanjikan.
“Apa yang lebih utama ialah berusaha untuk mengembalikan semula keyakinan pelabur asing untuk kembali melabur di Malaysia dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ketika mengulas mengenai pelantikkan kabinet malam tadi Mohd Azis berkata, Warisan mengucapkan tahniah kepada semua barisan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi.
“Cabaran kini menanti di hadapan tidak mudah bagi barisan kabinet yang baru dibentuk ini untuk memulihkan keadaan ekonomi negara dibebani hutang yang banyak melebihi RM1 trilion ringgit.
“Saya memahami ada juga segelintir penyokong Warisan kecewa kerana tiada representasi Warisan di dalam kabinet diumumkan Perdana Menteri malam tadi,” katanya.
Mohd Azis berkata, Warisan sangat konsisten malah tidak pernah memberikan Surat Akaun Bersumpah (SD) kepada calon-calon lain sejak dari awal lagi bermula ketika selepas langkah Sheraton.
“Pemilihan diantara Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin dahulu, Warisan telah memberikan SD kepada Anwar walaupun pada ketika itu Warisan ditawarkan dengan pelbagai tawaran jawatan dan habuan namun kekal pada prinsipnya untuk tidak ingin mengkhianati mandat rakyat,” katanya.
Mohd Azis berkata, Warisan sudah membuktikan kepada rakyat Sabah dan Malaysia bahawa parti ini tidak mengejar jawatan tetapi berpegang kepada prinsip mengutamakan kepada tuntutan kepada hak-hak Sabah.
“Kita berharap agar penyokong Warisan terus tenang dan sabar. Selain kita perlu melakukan kaji selidik untuk mencari di mana kelemahan serta kesilapan yang wajar perbaiki untuk memastikan Warisan kekal relevan di negeri Sabah pada pilihan raya akan datang,” katanya.