Jangan cetus kegusaran rakyat, hentikan provokasi – Zahid

Kuala Lumpur: Semua pihak perlu menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat bagi membolehkan kerajaan perpaduan menempuh cabaran dihadapi negara.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan ini mampu menangani segala cabaran itu demi kepentingan negara serta rakyatnya.

“Namun dengan syarat semua pihak haruslah menghentikan provokasi dan tindakan untuk mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Usah diganggu ketenteraman dan perpaduan masyarakat serta usaha kerajaan untuk meningkatkan prestasi ekonomi negara selepas ini.

“Mari kita bersama sebagai rakyat Malaysia bermuafakat demi masa depan Malaysia yang lebih baik buat semua,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Zahid melahirkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan itu, sambil menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab berat khususnya dalam suasana ekonomi dunia yang diramalkan amat mencabar tahun depan.

“Terima kasih diatas kepercayaan perdana menteri kepada saya dan rakan-rakan dalam BN untuk berada dalam Kabinet.

“Amanah ini bukanlah ghanimah (harta rampasan perang), namun satu taklif iaitu tanggungjawab yang sangat berat dalam suasana ekonomi dunia diramal amat mencabar tahun depan.

“Tahniah diucapkan kepada semua yang telah terpilih dan semoga gandingan semua pihak ini akan menghasilkan kejayaan luar biasa kepada negara.

“Kita hentikan ketidakstabilan politik yang telah banyak merosakkan serta merencatkan kemakmuran Malaysia,” katanya.