Anwar gadai maruah lantik kleptokrat menganggotai kabinet – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggadai prinsip  seperti dijaja semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila melantik kleptokrat menganggotai kabinetnya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyddin Yassin, berkata, ini adalah barisan kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

“Kabinet kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.

“Beliau sendiri sebagai Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan, satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini.

“Bagaimana rakyat serta pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila  berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata.

“Prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti nyata dikompromi,” katanya dalam kenyataan media di Facebook rasminya hari ini.

Muhyiddin berkata, selain itu Ahli Parlimen yang dikenali dengan sikap cauvinis melampau dilantik menerajui kementerian tertentu yang bakal mengundang kontroversi sekali gus boleh dijangkakan dasar bersifat perkauman yang ekstrem akan diperkenalkan.

“Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet.

“Rasa tanggungjawab dan belas kasihan terhadap rakyat telah tiada dan rakyat juga hilang percaya terhadap tonggak kepimpinan negara,” katanya.