WARISAN Tinggalkan Masalah Infrastruktur GRS-PH Selesaikan – Nizam

TAWAU: Pentadbiran Parti Warisan (WARISAN) disifatkan sebagai gagal total dalam mengurus isu infrastruktur asas di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, masalah mereka inj sehingga meninggalkan beban besar yang kini terpaksa dipikul kerajaan Gabungan Rakyat Sabah–Pakatan Harapan (GRS-PH).

Katanya, kegagalan itu terbukti apabila rakyat terpaksa berhadapan dengan jalan raya rosak teruk, bekalan air tidak stabil, dan gangguan elektrik berulang sepanjang pemerintahan WARISAN.

“Pentadbiran WARISAN tidak mempunyai hala tuju dan gagal membawa kemajuan. Janji mereka hanya tinggal kata-kata kosong.

“Akhirnya rakyat yang menanggung derita akibat kelemahan ini,” katanya di sini hari ini.

Nizam merupakan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, kerajaan GRS-PH pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kini bertungkus-lumus memulihkan keadaan.

“Ini bukan sahaja menyelesaikan masalah lama tetapi juga melaksanakan pelbagai projek baharu demi kepentingan rakyat, termasuk pembangunan di kawasan luar bandar.

“Kerajaan hari ini bekerja dan menyelesaikan masalah. Ini beza besar dengan WARISAN yang sekadar pandai berjanji tetapi gagal melaksanakan,” jelas Nizam.