PRN Sabah: “Bakal YB WARISAN jangan cari projek kerajaan buat bisnes, nanti saya pecat,” kata Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal memberi amaran kepada bakal wakil rakyatnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 untuk tidak sesekali mendapatkan projek kerajaan sebagai satu bentuk perniagaan demi kepentingan diri sendiri.

Presiden WARISAN memberi amaran itu sekiranya calon-calon berkenaan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi, kemudian dilantik sebagai menteri dalam Kabinet negeri.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau akan memecat mereka jika mendapati bakal menteri menjalankan kegiatan itu ketika beliau berjuang menyelamatkan Sabah daripada isu rasuah.

“Untuk membantu rakyat Sabah, jangan ada rasuah. Saya sudah maklumkan kepada bakal-bakal YB (Yang Berhormat) WARISAN, saya akan periksa mereka dahulu. Siapa yang menjadi ahli Kabinet, jangan buat perniagaan (bisnes).

“Kamu (calon wakil rakyat) jadi menteri bantu rakyat dan kerajaan. Jangan cari projek. Kalau ada menteri yang mahu cari projek, saya akan pecat. Saya beritahu kamu dengan serius saya ini berjuang untuk rakyat Sabah, bukannya untuk individu.

“Saya tidak mahu ambil hati mana-mana orang, saya mahu jaga dan selamatkan rakyat Sabah,” katanya semasa berucap dalam Majlis Kemasukan Beramai-ramai ke Parti WARISAN di sini hari ini.

Program itu menyaksikan seramai 1,500 kemasukan ahli baharu WARISAN secara rasmi dalam kawasan Parlimen Kota Kinabalu dan Sepanggar.

Ahli-ahli baharu itu sebelum ini daripada PKR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan UMNO.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Mohd. Shafie berkata tidak akan berkompromi dengan isu melibatkan menteri yang cuba mendapatkan projek kerajaan untuk kegunaan peribadi.

“Ini kriteria yang saya letak. Seingat saya semasa menjadi Ketua Menteri dahulu, satu atau minggu selepas mesyuarat Kabinet, kalau ada Menteri minta projek dengan saya, saya boleh luluskan RM10 juta hingga RM50 juta. Tetapi, hantar surat permohonan dan hantar surat permohonan letak jawatan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau faham ada menteri yang memohon projek untuk kepentingan rakyat.

“Bukan bererti mereka tidak boleh mohon projek untuk kawasan. Mungkin ada memohon untuk kepentingan rakyat seperti infrastruktur. Tetapi, saya tidak mahu di akhirnya, ada pihak lain mengaitkan projek tersebut dengan syarikat syarikat yang mereka miliki.

“Anda boleh bayangkan media sosial sekarang bagaimana, isu kecil atau besar boleh tular di sini dan di sana. Hanya kerana saya mahu menyenangkan hati mereka, saya beri mereka projek. Lihat apa yang berlaku sekarang, semua Yang Berhormat (YB) ada di sana (kerajaan negeri). Belajarlah dari kesilapan. Adakah ini tidak cukup?” soalnya.