PRN Sabah: GRS dan PH terus kerjasama, akan tentukan agihan kerusi DUN

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi GRS malam ini.

Sehubungan itu, katanya, kedua-dua gabungan politik berkenaan akan berunding dalam masa terdekat untuk menentukan jumlah agihan kerusi yang akan dipertanding oleh parti masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, Majlis Tertinggi GRS tidak membincang atau menyentuh kerjasama dengan parti-parti politik lain bagi menghadapi PRN17.

“Kerjasama ini banyak membantu menstabilkan politik di Sabah selain memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memberi tumpuan khusus kepada usaha-usaha membangunkan negeri ini termasuk menyelesaikan masalah berkaitan kemudahan asas.

“GRS kekal berpendirian parti-parti tempatan hendaklah mengambil peranan utama dalam kerjasama yang akan dipersetujui,” katanya.

Pun begitu, perkembangan malam ini bukan sesuatu yang baharu kerana pada 27 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan GRS akan meneruskan kerjasama politik dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN.

Katanya, semua parti komponen bersetuju dengan kerjasama tersebut.

Mesyuarat malam ini juga difahamkan tidak menyentuh tentang jalinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) walaupun Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi petang tadi dilaporkan berkata, rundingan kerjasama dan agihan kerusi antara ketiga-tiga gabungan politik tersebut hampir selesai.

Katanya, rundingan kerusi tiga gabungan itu akan dimuktamad sama ada sebelum atau ketika pembubaran DUN.

Terdapat laporan memetik pandangan ahli akademik yang menyifatkan gabungan PH-BN-GRS seperti hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah sukar dilaksana.

Dengan mengambil kira hasrat UMNO – Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di sekurang-kurangnya satu kerusi DUN bagi setiap Parlimen dan keinginan PH bertanding antara 23 hingga 24 kerusi DUN, ia umpama meminggirkan GRS yang kini menjadi tunjang kerajaan negeri.

Jika UMNO bertanding minimum 25 kerusi berdasarkan 25 kawasan Parlimen di Sabah, manakala 24 kerusi bagi PH, ia bermakna GRS terpaksa bertanding di 24 kerusi daripada keseluruhan 73 kerusi DUN, sesuatu yang pasti sukar diterima penyokong GRS termasuk pemimpin lapan parti komponennya.

Ketika ini, GRS Plus mempunyai 41 kerusi, masing-masing 24 kerusi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), tujuh kerusi Parti Bersatu Sabah (PBS), enam kerusi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) satu kerusi ahli langsung GRS iaitu Limbahau, satu kerusi Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) di Kukusan dan dua kerusi ahli UMNO dipecat yang menyokong GRS.

PH pula mempunyai tujuh kerusi, manakala UMNO sembilan kerusi, diikuti 14 kerusi dikuasai Parti WARISAN dan dua kerusi disandang Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Sementara itu, pembangkang WARISAN sebelum ini dilaporkan akan bertanding keseluruhan 73 kerusi DUN Sabah.