KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah menyifatkan pengumuman bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah sebagai bukti komitmen kerajaan Persekutuan dalam menangani tuntutan hak negeri itu.
Pengerusi BBC Sabah, Datuk Masiung Banah berkata keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kesungguhan kerajaan Madani dalam memenuhi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus menggunakan pendekatan rundingan bagi memastikan isu pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dapat dimuktamadkan.
“Perjuangan ini bukan retorik politik semata-mata tetapi usaha berterusan untuk memastikan hak Sabah dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan.
Masiung berkata tambahan bayaran interim itu dijangka memberi impak positif kepada pelaksanaan projek pembangunan asas termasuk kemudahan bekalan air, jalan raya, kesihatan dan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau turut menegaskan BBC Sabah akan terus menyokong usaha memastikan penggunaan peruntukan tersebut dilaksanakan secara telus dan berkesan demi kepentingan rakyat.
Bayaran interim RM1.5 bilion itu diumumkan Perdana Menteri sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan.
