Warisan perlu bermuhasabah diri dulu, sebelum bersuara tinggi – Mohammad Bahrin

KOTA KINABALU : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas, membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, Justin Wong menggesa Ketua Menteri dan beberapa ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya meletakkan jawatan kononnya atas dasar ‘Sayangkan Sabah.’

Ketua Bahagiannya, Mohammad Bahrin Abd. Karim berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja bersifat populis serta politik murahan, malah mencerminkan sikap hipokrit Warisan yang cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan mereka semasa diberi mandat dahulu.

Katanya, janganlah sembunyikan kegagalan anda dan menundingkan jari kepada pihak yang lain.

“Rakyat Sabah memberi kepercayaan kepada Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Namun, apa yang telah Warisan lakukan ketika itu? Janji-janji kosong, ketidakstabilan politik dan pentadbiran lemah menjadi tanda aras pemerintahan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Bahrin berkata, satu penggal Warisan tidak mampu dipertahankan kedudukkannya seolah-olah menjadi hari ini muncul sebagai ‘jaguh kampung.’

“Ini jelas satu sandiwara politik demi kepentingan diri sendiri. Tuduhan yang dilemparkan dalam sidang media tersebut masih dalam siasatan pihak berkuasa dan belum dibuktikan di mahkamah.

“Menggesa pengunduran pemimpin hanya berdasarkan dokumen yang belum disahkan sahih dan spekulasi liar adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab,” jelas Mohammad Bahrin.

Menurutnya, Warisan perlu menghormati proses undang-undang serta menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat secara adil dan profesional.

“Hajiji telah menyatakan pendirian secara terbuka dan berani mengenai isu dana politik, isu yang tidak asing dalam mana-mana sistem demokrasi di dunia.

“Warisan juga tidak terkecuali daripada realiti tersebut ketika mereka memerintah,” katanya.

Beliau mengingatkan Justin Wong dan Warisan agar “don’t talk much”, sebaliknya jumpa di gelanggang pada PRN17 nanti.

Bahrin berkata, rakyat Sabah akan membuat penilaian berdasarkan rekod dan prestasi Kerajaan Negeri hari ini dan bukan retorik.

“Kami yakin rakyat semakin matang menilai. Yang mana kaca dan yang mana permata, dan siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini dan siapa yang hanya pandai menyalak di luar gelanggang dan membuat janji kosong untuk merai sokongan,” tegasnya.