Status Pembangunan Guna Tanah Masjid Puncak Taqwa Pekan Kinarut, Papar Jadi Tanda Tanya?- Pg Morsidee

PAPAR : Status pembangunan melibatkan kawasan persekitaran parkir Masjid Puncak Taqwa Pekan Kinarut, Papar kini menjadi tanda tanya sekali gus dikenal pasti menimbulkan kerumitan dalam kalangan jemaah di kawasan terbabit.

Bekas Pengerusi Masjidnya, Pg Morsidee Pg Omar berkata, secara umumnya mengetahui masjid ini sering menjadi tumpuan ramai namun sangat menyedihkan apabila sebahagian tapak tanahnya dikecilkan atas tujuan pembangunan lain.

Tapak tanah Masjid Puncak Taqwa Kinarut Papar, sudah di pagar.

Katanya, ketika ini kelihatan kawasan luar parkir kereta sudah ditutup serta dipagar manakala tangki air untuk kegunaan jemaah diarah untuk dikosongkan.

“Sangat menyedihkan…Sepatutnya kawasan yang ada ini sudah mempunyai geran tanah adalah dikhaskan kepada kegunaan jemaah masjid namun diarah dikosongkan bagi tujuan pembangunan lain.

“Sebagai mewakili jemaah lain, kami ingin bertanya….Di manakah arah serta tempat mereka untuk mengadu untuk menyelesaikan masalah ini. Mohon pihak berkenaan membantu selesaikan masalah ini dalam tempoh terdekat,” katanya di sini hari ini.

Antara tapak parkir Masjid Puncak Taqwa Kinarut Papar diambil bagi tujuan pembangunan.

Pg Morsidee berkata, pihaknya bukan menolak sebarang pembangunan di kawasan ini tetapi dalam masa sama mereka perlu memikirkan keperluan serta kegunaan umat Islam pada masa depan.

“Kalau boleh janganlah ambil tanah yang sudah dikhaskan kepada masjid puncak taqwa, rasanya banyak lagi tanah lain boleh dicadangkan untuk kegunaan pembangunan ini.

“Janganlah bertindak melulu, banyak tanah lain yang difikirkan bersesuaian serta tidak menganggu kawasan persekitaran masjid ini,” jelas Pg Morsidee.

Menurutnya, pihak pengurusan Masjid Punca Taqwa juga mempunyai perancangan jangka masa panjang di kawasan tapak tanah terbabit berikutan peningkatan jemaah pada masa depan.

“Kita mohon kepada pihak yang berkenaan termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor campur tangan sekali gus melihat semula pembangunan yang dicadangkan di kawasan tapak masjid ini.

“Kita minta juga Sabah Urban Development Corporation (SUDC) menimbang semula pembangunan dibina di kawasan ini berikutan Masjid Puncak Taqwa mempunyai perancangan jangka masa panjang di kawasan ini,” kata Pg Morsidee.