Lelaki Dilaporkan Keluar Menangkap Ketam Bersama Anaknya Ditemukan Lemas

KOTA MARUDU : Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika keluar melakukan aktiviti menangkap ketam ditemukan lemas di pesisir pantai Kampung Rosob, Pitas di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, mangsa dikenali sebagai Muslim Masapi, 57, dilaporkan keluar menangkap ketam bersama dua anaknya di kawasan sekitar pesisir Pantai Torongguh.

Katanya, mangsa kemudiannya ditemukan pasukan penyelamat dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 1.55 petang semalam.

“Ketika kejadian, keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis sekali gus pihak BBP Pitas melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan mangsa dilaporkan hilang.

“Bagaimanapun mangsa kemudian ditemukan jam 1.55 petang, pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noor Jali berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Hospital Pitas.

“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 2:25 petang selepas memastikan keadaan sekitar lokasi disahkan selamat.

“Operasi SAR ini turut dibantu Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” jelas Noor Jali.