KOTA KINABALU : Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee menasihatkan sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya kekal merendah diri, selepas sebuah parti komponen mendakwa diperlekehkan apabila meminta kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Yong merupakan bekas ketua menteri berkata, pemimpin junior tertentu dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah terutamanya harus jujur dengan diri sendiri tentang kekuatan parti mereka.
“Kita jujurlah dengan diri sendiri, gabungan GRS ini tidaklah sekuat Barisan Nasional (BN) sebelum PRU 2018 dahulu.
“Tetapi, ada pemimpin junior Gagasan Rakyat berlagak, bercakap seolah-olah besar sangat macam Umno pada zaman kegemilangannya sebelum 2018,” katanya menerusi laporan The Borneo Post,” di sini semalam.
Yong menasihatkan kedua-dua pemimpin muda itu membaca perkembangan politik pada 2018, merujuk kemerosotan BN di negeri itu selepas Upko keluar daripada gabungan itu.
Beliau berkata, Upko sebelum ini dicabar oleh Umno Sabah untuk meninggalkan BN.
“Apabila parti itu akhirnya berbuat demikian pada 2018, BN Sabah kehilangan kuasa kepada Warisan yang kemudian membentuk kerajaan negeri. Masa adalah segala-galanya,” kata Yong.
Beliau berkata, mereka sebaliknya harus mencontohi keterangkuman dan kejujuran presiden parti, Hajiji Noor, dalam menilai kekuatan dan kelemahan GRS.