STARSABAH Tegaskan Kekal Bersama Gabungan Rakyat Sabah – Robert

KOTA KINABALU : Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) menegaskan pendirian mereka untuk terus kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 17 dalam tempoh tedekat.

Timbalan Presidennya, Datuk Robert Tawik menegaskan, STARSABAH tidak akan meninggalkan GRS, walaupun timbul spekulasi bahawa parti itu bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) mungkin akan keluar daripada gabungan itu untuk bertanding secara solo selepas penubuhan PBStar.

Katanya, GRS ditubuhkan berdasarkan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan perpaduan antara parti tempatan bagi mencapai kestabilan politik di negeri ini.

“Penubuhan rasmi GRS pada 11 Mac 2022 adalah satu langkah besar yang membuktikan kesatuan dan kematangan politik Sabah.

“Ia mencerminkan semangat muafakat serta keikhlasan semua parti terlibat untuk mengetepikan perbezaan demi kepentingan negeri tercinta ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Robert menegaskan bahawa kepimpinan gabungan ini berada dalam keadaan terbaik dengan kombinasi berpengalaman antara Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, dan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS serta Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Gandingan dua tokoh besar ini bukan sahaja berjaya mewujudkan kestabilan politik dalam negeri, tetapi juga menjadikan GRS satu gabungan yang disegani dan dihormati, termasuk oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

“Keupayaan mereka dalam memperjuangkan hak-hak Sabah telah menghasilkan kejayaan besar, termasuk pemulihan semula pelbagai hak negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujar beliau.

Katanya, STARSABAH yang kini memegang enam kerusi  Dewan Undangan Negeri, yakin bahawa sokongan akar umbi terhadap GRS amat kukuh, dan akan terus menyumbang kepada kejayaan gabungan itu dalam PRN ke-17 yang bakal diadakan.

“Kita akan terus bekerja keras memastikan mandat rakyat dikekalkan dan kerajaan GRS terus diberi kepercayaan untuk memerintah.

“Hanya dengan kestabilan kerajaan yang berterusan, lebih banyak pembangunan, peluang ekonomi dan insentif kebajikan dapat disampaikan kepada rakyat Sabah dari semua lapisan masyarakat,” jelas Robert.

Robert turut menyeru semua penyokong dan ahli STARSABAH serta rakyat Sabah untuk terus berdiri teguh bersama GRS demi sebuah negeri yang maju, berdaya saing dan bermaruah.