KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini secara rasmi melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia dengan sasaran untuk menarik keahlian pelbagai etnik, bangsa dan agama.
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan itu antara lain diharap dapat menjadi landasan dalam mengubah landskap politik negara di peringkat nasional.
“Perlu ada peralihan daripada sistem politik berasaskan kaum dan agama kepada kepelbagaian kaum yang lebih inklusif di negara ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Peringkat Nasional, di sini hari ini.
Mohd Shafie berkata parti itu yang kini bersekutu dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga terbuka untuk bekerjasama dan membentuk gabungan dengan mana-mana parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
“(Sebarang) kerjasama kita (akan) bincang dengan Muda untuk pastikan supaya kita mantapkan keadaan ‘rumah kita’ dahulu sebelum kita lihat yang lain.
Kita nak pastikan (kerjasama ini) selari dengan perjuangan yang kita mahu paparkan kepada pengundi,” kata Mohd Shafie yang menegaskan bahawa sebarang kerjasama perlu bersandarkan kepada prinsip dan landasan yang sama tanpa kompromi.
Ditanya mengenai pemimpin yang bakal menerajui Warisan di pelbagai negeri, Mohd Shafie berkata perkara itu akan diumumkan kemudian.
“Kita tidak boleh beranggapan (di) semua negeri kita akan bertanding, mungkin ada kawasan yang kita tak masuk langsung,” katanya.
Mengenai cabaran mengembangkan sayap di Semenanjung, Mohd Shafie tidak melihat perbezaan landskap politik sebagai halangan dan yakin dengan pengalaman beliau dalam politik selama lebih 35 tahun selain pernah menjadi pemimpin di peringkat persekutuan.
“Walaupun ada cabaran, politik dinamik di Semenanjung bukan perkara asing bagi kami, ” katanya.
— BERNAMA