KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Ewon Ebin hari ini mengumumkan tindakannya keluar parti atas alasan tiadanya kepimpinan dan hala tuju yang jelas dalam parti itu.
Beliau mendakwa beberapa pemimpin dan ahli majlis tertinggi parti itu juga meletakkan jawatan setelah menerima tekanan daripada ahli serta penyokong akar umbi mereka berhubung hala tuju parti itu.
Selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020, tiada perbincangan dan mesyuarat diadakan dalam kalangan ahli majlis tertinggi, jawatankuasa bahagian, sayap pemuda dan wanita parti, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Bahagian-bahagian parti sepatutnya disusun semula daripada peringkat Dewan Undangan Negeri hingga ke peringkat Parlimen seperti yang diputuskan Mesyuarat Agung dwitahunan parti tahun lepas, namun ia tidak dilaksanakan sehingga menyebabkan parti tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
“Keputusan untuk melepaskan jawatan dibuat dengan rasa berat hati kerana kita semua sayangkan PCS tetapi hidup perlu diteruskan…buat masa ini, adalah memadai untuk menyatakan bahawa perjuangan kami tidak berakhir di sini,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 tahun lepas, PCS bertanding di semua 73 kerusi DUN tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden PCS Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan beberapa pimpinan tertinggi keluar parti itu hari ini adalah lumrah politik dan berkemungkinan akibat khuatir tidak terpilih lagi untuk memegang jawatan selepas rombakan parti dilakukan dalam masa terdekat.
Beliau berkata terdapat desakan daripada akar umbi untuk membuat rombakan parti bagi memantapkan hala tuju PCS dalam memperjuangkan naratif rakyat Sabah.
“Kita tidak boleh halang mereka meninggalkan parti dan adalah hak mereka untuk membawa haluan masing-masing di kancah politik negara. Namun, saya tegaskan PCS tetap berdiri utuh memperjuangkan hak-hak Sabah terutamanya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak rakyat negeri Sabah.
” Saya juga dengan itu, turut ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan semoga jaya kepada mereka walaupun berlainan platform nanti, saya berharap usaha memperjuangkan hak rakyat Sabah akan terus diutamakan,” katanya.
Sementara itu, Anifah dalam masa yang sama menyangkal beberapa dakwaan mengatakan PCS bakal berkubur dalam arena politik tempatan susulan isu berkenaan sebaliknya beliau menyatakan parti itu kian utuh dan semakin diterima rakyat Sabah.
— BERNAMA