176 bahagian Pemuda UMNO mahu pemilihan selepas PRU15

KUALA LUMPUR: Sebanyak 176 bahagian Pemuda UMNO menggesa pemilihan parti itu diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan, berkata bahagian terbabit juga meminta parti itu dan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan lebih ramai calon baharu dan anak muda dalam menghadapi PRU15.

Dua usul yang menjadi ketetapan utama 176 bahagian itu sudah diserahkan ke ibu pejabat UMNO untuk diperhalusi serta dimuktamadkan, tambahnya.

“Hingga kini, hampir keseluruhan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian di seluruh negara selesai melaksanakan mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing bermula 11 Disember lalu. Daripada jumlah keseluruhan yang bersidang, 176 bahagian menghantar usul.