KOTA KINABALU: Satu kes pendermaan organ di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu yang juga merupakan penderma organ tertua di negeri Sabah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Asits Sanna berkata, pendermaan ini melibatkan seorang warga emas berusia 83 tahun 9 bulan iaitu mendiang Selvaraju bin Shanmugam @ SS Raju (1939-2023) yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Katanya, mendiang merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang, bermurah hati dan selalu membantu orang lain yang dalam kesusahan.
“Walaupun tidak berkesempatan
mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah memaklumkan hasrat
menderma organ kepada ahli keluarganya.
“Pihak keluarga telah mendermakan
sepasang kornea (mata) yang telah membantu dua orang pesakit lain mendapat sinar baharu dalam kehidupan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas anugerah kehidupan yang diberikan.
Katanya, semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.
Dr Asits berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah ingin memaklumkan penderma organ tertua di
Sabah sebelum ini berusia 80 tahun 2 bulan pada tahun 2018, manakala penderma organ termuda berusia 1 tahun 4 bulan pada tahun 2008.
Menurutnya, jumlah penderma organ kadaverik (setelah meninggal dunia) di Sabah setakat bulan Oktober 2023 adalah seramai 33 orang.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menyeru orang ramai untuk mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan maklumkan hasrat murni tersebut kepada ahli keluarga terdekat.