KOTA KINABALU–Pasukan Kota Kinabalu akan berusaha melakukan yang terbaik untuk memenangi pingat dalam acara bola sepak Sukan Sabah (SAGA) edisi ke-10 yang akan berlangsung di sini pada 16-22 Disember ini.
Kota Kinabalu disenaraikan dalam Kumpulan A bersama Tuaran, Penampang dan Telupid.
Manakala Kumpulan B terdiri dari Tawau, Kota Belud, Tenom dan Membakut.
Pengurus pasukan SAGA Kota Kinabalu, Lokman Sunggim, berkata pasukannya kini dalam persiapan terakhir dan akan berusaha untuk memenangi pingat.
Katanya, mereka memang mensasarkan untuk memburu pingat emas namun ia bergantung kepada prestasi pasukan ketika pertandingan sebenar berlangsung.
“Kami mempunyai masa hampir dua minggu sahaja lagi untuk mempersiapkan pasukan dan berharap semuanya berjalan baik agar sasaran tercapai,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Lokman, jurulatih pasukan, Roslan Wasli dengan dibantu Rosdin Wasli dan Rosly Jamal akan memastikan pemain-pemain dapat menggalas tugas dengan berkesan menghadapi acara bola sepak nanti.
Beliau yakin kombinasi beberapa pemain yang berpengalaman dan muka baharu dalam pasukan akan terus dapat dipertingkatkan lagi sebelum acara bola sepak bermula dua minggu dari sekarang.
“Setakat ini prestasi pasukan terutama aspek keserasian dan persefahaman agak menyakinkan dan kita hanya mempunyai sedikit masa lebih kurang 10 hari untuk mempertingkatkannya,” ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, latihan intensif dalam masa yang singkat akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan pasukan mampu melakukan yang terbaik dalam pertandingan sebenar.