KOTA KINABALU: Wanita UMNO Sabah merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, kemenangan tersebut mencerminkan suara rakyat yang lahir daripada kepercayaan serta kesetiaan pengundi terhadap perjuangan parti.
Beliau berkata, kemenangan di kesemua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) melibatkan tiga DUN iaitu Sukau, Lamag dan Kuamut serta semua saluran undi membuktikan pengundi terus menghargai jasa serta khidmat bakti Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin ketika menjadi wakil rakyat sebelum ini.
“Usaha dan khidmat bakti Allahyarham DSP Bung Moktar kini akan diteruskan oleh wakil rakyat baharu di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noraini turut mengucapkan tahniah kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin yang mengetuai jentera parti sepanjang kempen PRK berkenaan.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan dan ADUN Lamag, Mohd Ismail @ Miha atas kemenangan yang diraih.
“Wanita UMNO Sabah akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat Kinabatangan,” katanya.
