Persekutuan perlu perhalusi agihan hasil petroleum Sabah – Riduan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memperhalusi pengagihan hasil petroleum negara dengan Sabah selaras Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA1974) seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, Sabah kini hanya menerima lima peratus royalti petroleum walaupun menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara.

“Jumlah ini tidak mencerminkan sumbangan besar Sabah dalam sektor minyak dan gas.

“MA63 ialah perjanjian penubuhan yang membahagikan kedaulatan, kuasa perundangan dan kawalan ekonomi dalam Persekutuan Malaysia,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Rakyat hari ini.

Riduan berkata, di bawah Perlembagaan Persekutuan, tanah dan sumber asli berada di bawah bidang kuasa negeri sejak 1963 dan kedudukan itu diperkukuhkan melalui Perkara 95D.

Dalam perbahasan sama, beliau turut mencadangkan kerajaan meneroka potensi industri getah dalam sektor farmaseutikal bagi menambah nilai industri tersebut.

“Serum getah mengandungi L-Quabrachitol yang digunakan dalam industri ubat-ubatan dan boleh mengangkat industri getah ke tahap lebih tinggi,” katanya.