Sabah perkukuh hubungan keilmuan dengan Al-Azhar

KAHERAH: Delegasi Sabah yang diketuai Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman mengadakan lawatan rasmi ke Akademi Antarabangsa Al-Azhar bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan Islam dan dakwah.

Delegasi tersebut turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Menteri Bertanggungjawab Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Mufti Sabah Datuk Aziz Jaafar serta wakil Kedutaan Malaysia di Kaherah.

Ketibaan delegasi disambut oleh wakil Al-Azhar Al-Sharif iaitu Dr Mohamed Al-Dwaini, Mohamed Al-Jandi serta Presiden Akademi Antarabangsa Al-Azhar, Dr Hassan Salah Junior.

Musa berkata pembukaan Dewan Imam Besar Al-Azhar yang dinamakan sempena Prof Dr Ahmed El-Tayyib melambangkan penghargaan terhadap peranan beliau dalam mempromosikan pemikiran Islam wasatiyyah di peringkat global.

Menurutnya, Sabah berharap kerjasama dengan Al-Azhar dapat diperluas khususnya dalam bidang pendidikan agama serta latihan imam dan pendakwah.