KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu dan Keningau.
Operasi tersebut dijalankan hasil aduan awam serta risikan selama kira-kira seminggu di beberapa lokasi berasingan.
Menurut kenyataan JIM Sabah, operasi yang dijalankan pada 26 dan 27 Januari lalu melibatkan 35 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu dan Keningau.
“Hasil pemeriksaan ke atas 182 individu, seramai 77 PATI ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia,” menurut kenyataan itu.
Kesemua individu yang ditahan disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.
