BEAUFORT: Operasi Bersepadu yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort hari ini menghasilkan sebanyak 11 notis kompaun terhadap peniaga di sekitar daerah ini.
Operasi melibatkan tujuh pegawai penguat kuasa KPDN itu bertujuan memantau pematuhan harga barangan keperluan asas serta penggunaan alat timbang dan sukat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Beaufort, Julie binti Julhani, kebanyakan peniaga didapati mematuhi peraturan khususnya berkaitan penandaan harga dan penggunaan alat timbang serta sukat yang telah ditentusahkan untuk tujuan perdagangan.
Bagaimanapun, Pejabat Kesihatan Kawasan Beaufort mengeluarkan lapan notis kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan 33(1)(a), (b) dan (f) Peraturan-Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit (PPKM) 2009.
Dalam operasi sama, KPDN turut mengeluarkan tiga tindakan kompaun serta-merta mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.
Julie berkata operasi bersepadu itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi hak pengguna.
