KOTA KINABALU: Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari ini menandakan hala tuju baharu pembangunan Sabah dengan penekanan terhadap kesinambungan dasar, kestabilan pentadbiran dan hasil yang boleh dirasai rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, SMJ 2.0 membuktikan Sabah tidak lagi sekadar mengikut arus, sebaliknya memimpin hala tuju sendiri sebagai negeri yang yakin dan berdaya saing.
Menurut beliau, kelemahan sebelum ini berpunca daripada kurangnya kesinambungan dasar dan ketidakstabilan politik sehingga menjejaskan pelaksanaan projek serta pembaharuan.
Beliau mengingatkan pembatalan model Project Delivery Partner bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo dan penamatan tidak sah operator loji rawatan air yang mengakibatkan kerajaan terpaksa membayar pampasan RM315 juta.
Mandela berkata, SMJ 1.0 memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan pentadbiran dan mengukuhkan disiplin kewangan, manakala SMJ 2.0 membawa Sabah ke fasa transformasi dengan penilaian prestasi berasaskan hasil kepada rakyat.
Katanya, hala tuju SMJ 2.0 digerakkan melalui empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United bagi memastikan pembangunan Sabah dibentuk oleh rakyat Sabah untuk masa depan negeri.
